Klik pada iklan ini sama

OhBelog

Friday, July 22, 2011

Budaya Membaca

BACA BUKA JENDELA PERJALANAN ILMU - NC

usmnovel

PULAU PINANG, 20 Jun - Amalan membaca buku disifatkan sebagai jendela untuk memulakan sebuah perjalanan yang mempunyai kaitan dengan ilmu, kata Naib Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Prof. Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak di sini semalam.

Katanya, tabiat membaca adalah perkara yang tidak dapat dielakkan dan jika minat membaca tidak dipupuk dari awal maka akan sukar bagi seseorang untuk mengikuti arus ilmu serta menambah pengetahuan.

``Malah, melalui pembacaan juga dapat membantu seseorang menguasai bahasa dan memperbaiki mutu penulisan,’’ katanya dalam ucapan perasmian serentak berkongsi ilmu mengenai buku bacaan beliau sempena Siri Novelmu Novelku.

Siri Novelmu Novelku adalah inisiatif Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK) dengan kerjasama kafetaria Anjung Semarak, bertujuan melestarikan budaya membaca dalam kalangan masyarakat kampus termasuk kakitangan pentadbiran, pensyarah, pelajar dan sebagainya.

Dzulkifli turut berkongsi bacaan beliau mengenai buku biografi Albert Schweitzer, sebuah buku yang disifatkan beliau sebagai salah satu bacaan yang banyak mempengaruhi pemikiran beliau khususnya dalam hal-hal berkaitan kemanusiaan dan pengorbanan.

``Saya amat meminati buku biografi khususnya yang berkaitan tokoh atau individu yang telah membawa perubahan besar dalam pembangunan masyarakat dan rata-rata biografi yang saya baca juga adalah mereka yang banyak membawa pengorbanan kepada orang lain,’’ katanya.

Sementara itu, Siri Novelmu Novelku yang akan dijalankan sekali setiap bulan itu turut memberi cabang baru kepada konsep kelestarian iaitu projek melestarikan pembacaan novel di kalangan warga kampus USM.

Selain melestarikan pembacaan novel daripada pelbagai genre seperti horor, percintaan, misteri, sci-fi dan sebagainya, program ini turut berperanan bagi menggalakkan golongan tertentu khususnya golongan sains berkongsi pengalaman pembacaan novel kerana ia adalah satu aktiviti intelektual dan psikologikal.

Bagi sesiapa yang berminat untuk menyertai program ini boleh menghubungi Prof. Sohaimi Abdul Aziz, Timbalan Dekan Pengajian Siswazah dan Penyelidikan, PPIK USM.

Garis panduan bagi menyertai program ini adalah penceritaan mengenai latar belakang novel, latar belakang pengarang, sinopsis, perkara menarik mengenai novel dan lain-lain yang dirasakan pembaca yang boleh.


Sumber : http://www.usm.my/index.php/en/about-usm/news-archive/66-news-highlight/8663-baca-buka-jendela-perjalanan-ilmu-nc.html


No comments:

Post a Comment